KOTA TINGGI: Projek JanaVeteran dilihat mampu memperkasa golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara pada masa depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program rintis projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Boustead Plantations Berhad (BPlant) melalui tanaman halia menggunakan jenama Halia KayTi.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu akan diperluaskan secara berperingkat melibatkan kesemua 42 ladang BPlant di seluruh negara selain tanah bersesuaian lain termasuk milik persendirian.
“Kementerian Pertahanan akan mula terlibat dalam soal keterjaminan makanan negara. Ia akan diperluaskan melibatkan lebih banyak tanaman bernilai tinggi seperti lada selepas ini, selain integrasi teknologi bagi meningkatkan produktiviti.
“Usaha ini juga selari dengan matlamat kementerian untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan veteran ATM terus terjamin dengan pendapatan bermaruah. Selain gaji bulanan RM3,000, peserta turut menerima insentif berdasarkan hasil tuaian,” katanya ketika merasmikan Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, di sini hari ini.
Tambahnya, projek itu akan mengutamakan penyertaan veteran ATM bagi memastikan golongan tersebut tidak hanya bergantung kepada pencen semata-mata.
“Veteran ATM merupakan golongan yang banyak berjasa kepada negara, justeru kerajaan perlu terus membela kebajikan mereka. Mereka bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, malah merupakan aset penting negara,” katanya.
Menurut beliau, fasa pertama projek akan dilaksanakan di kawasan seluas 12 hektar dengan penglibatan seramai 15 veteran ATM.
Dalam pada itu, kadar sara diri bagi halia di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 15.9 peratus, manakala kebergantungan kepada import melebihi 85 peratus.
Saiz pasaran global bagi komoditi itu pula dijangka mencecah AS$7.5 bilion menjelang 2033. – UTUSAN










