PETALING JAYA: OMODA JAECOO Malaysia secara rasmi melancarkan model JAECOO J5, sebuah kenderaan silang (crossover) kompak premium segmen B yang dikenali sebagai ‘Urban Explorer’.
Model yang menggabungkan falsafah kemewahan termampu itu ditawarkan pada harga bermula RM108,000 bagi varian 2WD, sekali gus menyasarkan generasi pembeli baharu yang mementingkan gaya hidup bandar.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, pelancaran JAECOO J5 membuktikan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap ekosistem industri automotif negara yang kini sedang bertransformasi sebagai hab pembuatan bernilai tinggi.
Sementara itu, Ketua OMODA JAECOO Malaysia, Chris Tan berkata, JAECOO J5 direka khusus untuk memberikan kebebasan kepada pemandu menikmati kehidupan bandar dan keseronokan mengembara pada hujung minggu.
“JAECOO J5 bukan sahaja selesa untuk penumpang, malah ia direka sebagai kenderaan mesra haiwan peliharaan dengan upholsteri antibakteria dan kalis cakar yang pertama dalam kelasnya.
“Dengan barisan model untuk segmen pemandu baharu ini, J5 memberikan kemudahan serba guna tanpa perlu meninggalkan dunia anda,” katanya dalam kenyataan
Dari segi prestasi, JAECOO J5 dipacu enjin 1.5-liter cas turbo yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm, serta diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Guna Tenaga (EEV) dengan penggunaan bahan api 6.4 liter bagi setiap 100 kilometer.
Aspek keselamatan menjadi keutamaan melalui sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) Tahap 2+ yang merangkumi 19 ciri standard termasuk Bantuan Mengekal Lorong, Pengesanan Titik Buta dan Pembrekan Kecemasan Autonomi.
Ruang dalamannya pula menampilkan bumbung bulan panorama berukuran 1.45 meter persegi iaitu yang terbesar dalam kelasnya, selain dilengkapi skrin infohiburan 13.2 inci dan sistem audio lapan pembesar suara.
Sempena pelancaran, OMODA JAECOO Malaysia turut memperkenalkan Pakej Pelancaran Istimewa sehingga 15 Mac 2026 yang menawarkan rebat tunai RM3,000, insurans percuma tahun pertama serta aksesori eksklusif bernilai RM2,000.
JAECOO J5 didatangkan dengan waranti kenderaan komprehensif selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer, yang mana lebih dahulu. –UTUSAN










