TEHERAN: Iran telah menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan perang dengan menyatakan bahawa sebarang penyelesaian hanya bergantung kepada syarat dan garis masa yang ditentukan oleh Teheran sendiri, menurut seorang pegawai kanan.
Pegawai itu, yang bercakap kepada stesen televisyen Iran Press TV berkata, Iran tidak akan membenarkan Trump menentukan haluan perkembangan semasa dan menekankan bahawa operasi pertahanan akan diteruskan sehingga tuntutannya dipenuhi.
“Iran akan menamatkan perang apabila ia memutuskan untuk berbuat demikian dan apabila syaratnya sendiri dipenuhi,” kata pegawai tersebut dan menambah bahawa Teheran bersedia untuk meneruskan tindak balasnya serta melancarkan serangan hebat sehingga objektifnya tercapai.
Iran telah menggariskan lima syarat utama untuk bersetuju dengan gencatan senjata. Ini termasuk penghentian sepenuhnya terhadap apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan dan pembunuhan sasaran, jaminan bagi mengelakkan perang daripada berulang serta pembayaran pampasan terrmasuk ganti rugi.
Negara itu juga menuntut penamatan menyeluruh permusuhan di semua medan yang melibatkan kumpulan sekutu di rantau tersebut dan pengiktirafan kedaulatannya ke atas Selat Hormuz, yang menurutnya penting untuk memastikan pematuhan terhadap sebarang perjanjian.
Pegawai itu berkata, tuntutan ini dibina berdasarkan pendirian yang telah dikemukakan dalam rundingan terdahulu di Geneva, Switzewrland sejurus sebelum perang AS dengan Israel bermula pada 28 Februari.
Iran telah memaklumkan kepada perantara bahawa tiada rundingan akan berlangsung melainkan semua syaratnya diterima dan mengulangi bahawa gencatan senjata bergantung kepada pematuhan penuh.
“Penamatan perang akan berlaku apabila Iran memutuskan ia perlu ditamatkan, bukan apabila Trump membayangkan pengakhirannya,” kata pegawai itu.
Teheran melihat usaha terbaru AS yang disampaikan melalui perantara serantau, sebagai berlebihan dan tidak selari dengan realiti di medan perang.
Cadangan tersebut telah ditolak sebagai kemungkinan usaha untuk meningkatkan ketegangan, bukan menyelesaikannya.
Amerika telah menghantar pelan 15 perkara kepada Iran untuk menamatkan perang, menurut laporan oleh akhbar The New York Times.
Cadangan itu disampaikan melalui Pakistan, yang ketua tenteranya muncul sebagai perantara utama antara Washington dan Teheran. – AGENSI











