PETALING JAYA: Iran mempunyai hak untuk mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negaranya susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Iran tidak boleh dinafikan haknya untuk mengambil tindakan selaras dengan kerangka undang-undang antarabangsa.
Katanya, Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan jelas memperuntukkan hak sesebuah negara untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku serangan bersenjata.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan eskalasi ketegangan yang berbahaya di rantau Asia Barat, malah meletakkan keselamatan serantau dan global dalam keadaan genting.
“Dalam hal ini, Iran sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai sepenuh hak untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyatnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, serangan yang juga membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebagai satu tindakan jenayah yang melangkaui batas diplomasi serta mencabuli prinsip asas undang-undang antarabangsa.
“Pembunuhan pemimpin tertinggi sebuah negara berdaulat berserta kematian ramai masyarakat awam, merupakan kejahatan yang melampaui batas diplomasi dan undang-undang antarabangsa.
“Saya bersama ahli Parlimen Pembangkang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran yang kehilangan Pemimpin Tertinggi dan Ketua Negara mereka,” katanya.
Hamzah turut meminta semua pihak termasuk kuasa besar dunia dan negara-negara di rantau Teluk supaya kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan konflik terus memuncak, sekali gus menjejaskan keamanan sejagat. – UTUSAN










