PETALING JAYA: Integriti perlu menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan warga Tentera Darat Malaysia dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air serta memelihara keamanan negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, setiap anggota tentera perlu terus berkhidmat dengan penuh profesionalisme demi memastikan Malaysia kekal aman dan berdaulat.
Seri Paduka sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa dan pengorbanan seluruh warga tentera darat dalam mempertahankan kedaulatan tanah air serta memelihara keamanan negara.
“Nilai integriti juga hendaklah menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan warga pasukan itu, selain terus berkhidmat dengan penuh profesionalisme demi memastikan Malaysia kekal aman dan berdaulat.
“Al-Fatihah buat para anggota serta veteran yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran Facebook Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat ke-93 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia serta para veteran yang menabur bakti kepada negara.-UTUSAN










