SHAH ALAM: Di sebalik kemeriahan sambutan Aidilfitri, jenama minuman teh dan ais krim popular, Momoyo tampil membawa keceriaan tersendiri menerusi pengenalan DINO Series serta pelancaran lagu raya Raya Lebih Cool.
Langkah itu bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah menjadi usaha jenama tersebut mencipta pengalaman lebih ceria kepada pelanggan ketika musim perayaan.
Majlis pelancaran yang berlangsung meriah itu turut menghimpunkan rakan strategik, pempengaruh media sosial serta wakil komuniti yang bersama-sama meraikan kempen Aidilfitri Momoyo.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Momoyo Malaysia, Alif Iman berkata, DINO Series dihasilkan dengan idea kreatif bagi memberi sentuhan lebih menyeronokkan kepada penggemar minuman mereka.
Menurutnya, siri minuman tersebut diinspirasikan daripada gabungan elemen koko dan dinosaur yang dipersembahkan melalui reka bentuk ‘tear-cup’ unik.
“DINO Series diinspirasikan daripada elemen koko dan dinosaur yang menampilkan reka bentuk tear-cup yang menyeronokkan sekali gus mencerminkan imej jenama kami yang muda, bertenaga dan kreatif.
“Ia bukan sekadar mengenai minuman, tetapi melalui produk kreatif ini Momoyo berharap dapat membawa lebih banyak kebahagiaan kepada pelanggan kami,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran produk berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Momoyo Malaysia, Alex Tan yang bersama-sama memeriahkan acara pelancaran berkenaan.
Bagi menambahkan lagi suasana perayaan, Momoyo turut melancarkan lagu raya Raya Lebih Cool yang dinyanyikan oleh penyanyi popular, Ismail Izzani dan Layla Sania.
Lagu tersebut menjadi simbol kemeriahan kempen Aidilfitri Momoyo yang cuba mendekati masyarakat dengan pendekatan lebih santai dan mesra generasi muda.
Dalam perkembangan sama, Momoyo turut mengumumkan sasaran agresif untuk membuka sehingga 600 cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurut Alif, setakat ini Momoyo sudah mempunyai kira-kira 200 cawangan di negara ini dan terus menerima permintaan tinggi daripada peminat minuman teh boba serta ais krim.
Di peringkat serantau pula, jenama itu telah berkembang pesat dengan lebih 1,500 kedai di seluruh Asia sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama minuman inovatif yang berkembang pantas.
Pada masa sama, Momoyo turut menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan bekerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan, Hentikan Perdagangan Manusia (SHUT).
“Alhamdulillah dengan kerjasama seperti ini, SHUT akan terus memperkasa dan menggiatkan usaha kami membantu mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Kami amat menghargai sokongan Momoyo yang percaya kepada usaha kami dalam meningkatkan kesedaran masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan,” kata Pengasas SHUT, Dini Dalilah Wan Nordin. – UTUSAN










