PETALING JAYA: Kejadian kebakaran yang mengorbankan sebuah kanak-kanak berusia empat tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil dekat sini, dipercayai berlaku ketika ibu mangsa keluar membeli makanan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kejadian dipercayai kira-kira 3.40 petang.
Katanya, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati ketika kejadian, mangsa berada di rumah berkenaan bersama lima adik beradiknya berusia kira-kira sembilan bulan hingga 10 tahun.
“Ketika kejadian, ibu mereka telah pergi ke kedai bagi tujuan membeli makanan.
“Jiran-jiran yang menyedari kebakaran itu bertindak membantu kesemua mangsa namun gagal menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam bilik tidur utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah unit pangsapuri PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil dekat sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kejadian pada 2.59 petang dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil bersama BBP Sri Petaling bergegas ke lokasi.
Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur Mohd. Azizi Abdullah dilaporkan berkata, sebaik pasukan tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat 10 bangunan berkenaan.- UTUSAN









