Hotel di Mekah terbakar, 70 jemaah umrah Malaysia disahkan selamat

Hotel di Mekah terbakar, 70 jemaah umrah Malaysia disahkan selamat

KEBAKARAN berlaku di Hotel Mira Ayjad yang terletak di kawasan Ayjad pada petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada petunjuk insiden kebakaran yang berlaku di Hotel Mira Ajyad di Mekah berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj berdasarkan maklumat awal diperoleh Kementerian Luar Negeri setakat ini.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, pada peringkat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi.

Pada masa sama, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dimaklumkan, seramai 70 jemaah umrah Malaysia di bawah kelolaan TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel menginap di hotel tersebut disahkan selamat dan dikenal pasti.

“Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira pukul 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel.

“Atas faktor keselamatan, para tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, sekiranya terdapat kelewatan dalam mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas.

Katanya, pihaknya akan terus memantau situasi ini dengan rapat dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.

“Jemaah Malaysia yang kini berada di Mekah dinasihatkan supaya kekal tenang dan patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN