Harga minyak turun pacu prestasi pasaran saham

Harga minyak turun pacu prestasi pasaran saham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kembali melepasi paras 1,700 mata apabila harga minyak menurun, sekali gus berpotensi bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,740 mata dalam masa terdekat.

Pasaran kini turut menumpukan perhatian kepada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bagi melihat bagaimana pembuat dasar menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan risiko inflasi di tengah-tengah konflik di Asia Barat.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, indeks dijangka kekal stabil selagi tiada kejutan besar daripada faktor global.

“Kenaikan FBM KLCI ke sekitar 1,725 mata mencerminkan pemulihan sentimen pelabur yang lebih jelas, didorong oleh faktor luaran dan domestik.

“Ia menunjukkan aliran masuk dana kembali ke pasaran, khususnya dalam saham berwajaran tinggi, selepas tempoh ketidaktentuan sebelum ini.

“Antara pemacu utama ialah kestabilan harga minyak, pengukuhan ringgit serta minat belian semula dalam sektor utama seperti perbankan, tenaga dan utiliti. Pada masa sama, pelabur institusi kembali aktif, menyokong momentum kenaikan indeks,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Harga minyak mereda pada Rabu selepas kerajaan Iraq dan pihak berkuasa Kurdis mencapai persetujuan untuk menyambung semula eksport minyak melalui pelabuhan Ceyhan di Turki, walaupun Selat Hormuz masih sebahagiannya ditutup.

Pada pukul 4 petang semalam, niaga hadapan Brent merosot 2.2 peratus kepada AS$101.09 (RM395.38) setong, manakala minyak mentah WTI turun 3.3 peratus kepada AS$93.05 (RM363.94) setong.

Keadaan itu memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur ekuiti, dengan indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun naik 1.6 peratus, disokong lonjakan pasaran Korea Selatan lebih 4.0 peratus. Saham Nikkei di Jepun turut meningkat 2.6 peratus.

Bagaimanapun, Abu Sofian berkata, dalam jangka pendek, pasaran dijangka kekal positif tetapi berhati-hati.

“Menjelang musim perayaan, aktiviti dagangan biasanya lebih ringan dan berisiko berlakunya pengambilan untung.

“Tambahan pula, faktor luaran seperti hala tuju kadar faedah global dan ketegangan geopolitik masih menjadi risiko utama,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi ringgit yang kukuh pula didorong aliran masuk pelaburan ke pasaran modal negara, terutamanya Bursa Malaysia yang mencatat peningkatan tinggi.

“Laporan penganalisis antarabangsa menyatakan, berikutan peperangan di Asia Barat, Malaysia kini dilihat sebagai destinasi terbaik untuk mengalihkan dana pelaburan di Asia Tenggara.

“Ini disokong dasar yang stabil, pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi serta industri semikonduktor yang kukuh.

“Pertumbuhan negara juga didorong pelaburan strategik dalam teknologi dan pembuatan, meletakkan Malaysia di hadapan rakan serantau.

“Pencapaian ini jelas apabila syarikat korporat tempatan terus mengumumkan keuntungan memberangsangkan dalam sektor pembinaan, perbankan, serta minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak turut menjadi daya tarikan pelabur asing.

“Selain itu, Malaysia menguasai 13 peratus pasaran global dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip, sekali gus menarik minat pelabur asing.

“Pelaburan dan pembinaan pusat data oleh Google, AWS dan ZDATA juga memastikan aliran FDI ke negara terus berterusan.

“ZDATA Group sedang membangunkan kampus pusat data hyperscale AI bernilai RM8 bilion di Gelang Patah, Johor, dengan fasa pertama dijangka beroperasi pada Mac 2026.

“Google pula merancang pelaburan besar dalam infrastruktur awan dan AI, dijangka menyumbang berbilion kepada KDNK Malaysia menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN