PUTRAJAYA: Kerajaan komited melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi memastikan rakyat tidak terbeban susulan tekanan terhadap harga minyak global ketika ini susulan konflik Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, kerajaan masih boleh mengawal harga minyak berbanding negara-negara lain.
Beliau berkata, harga minyak dunia hari ini menyaksikan minyak mentah Brent meningkat kepada AS$100 setong, namun kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter melalui mekanisme subsidi bersasar BUDI95.
“Dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat dan kita cuba,” katanya pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal pendirian dan tidak bersetuju dengan eleman keganasan, kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu-gugat negara lain.
Katanya, kerajaan juga prihatin dengan tempias krisis itu terhadap negara-negara jiran termasuk Azerbaijan, Turki dan negara-negara Teluk.
“Saya telah hubungi dengan Menteri Luar Iran dan meminta supaya dapat sedaya upaya mengawal hubungan baik di antara jiran negara-negara Islam itu terus mantap.
“Malaysia adalah antara yang terpanggil untuk menghubungi Iran dan negara sahabat bagi menyatakan pertama sokongan kita kepada Iran dalam pertahankan negara tersebut.
“Itu konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini. Tidak bersetuju dengan keganasan, tidak bersetuju dengan kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu-gugat negara lain,” katanya.
Katanya, Iran ada hak mempertahankan kedaulatan negaranya dan mempertahankan kemerdekaannya.
Jelasnya lagi, beliau juga menggesa rakyat di negara ini supaya memikul amanah yang diberikan dengan baik, perbaiki kelemahan diri dan hentikan sikap perpecahan yang menimbulkan pergeseran perpecahan yang tidak menentu.
“Binalah kekuatan perpaduan, pupuklah semangat, tingkatlah prestasi kita, jadikanlah negara ini negara yang berjaya dan bahagia. Kita bernasib baik kerana jauh dari medan pertempuran dan ekonomi masih bertahan,” katanya. – UTUSAN










