Harga makanan dijangka naik sehingga 50 peratus

Harga makanan dijangka naik sehingga 50 peratus

ROSLI SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menjangkakan harga makanan boleh meningkat sehingga 50 peratus susulan kenaikan kos minyak dan operasi.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peningkatan itu disebabkan kos bahan mentah dan barangan asas dijangka meningkat berikutan kenaikan kos pengangkutan dan penghantaran yang kebanyakannya menggunakan kenderaan diesel.

“Sebelum harga minyak naik, sudah berlaku kenaikan harga kira-kira 20 hingga 30 peratus dan selepas ini kita tidak menolak kemungkinan boleh naik lagi sehingga 50 peratus.

“Kebanyakan peniaga terpaksa mengurangkan kuantiti barangan diambil daripada pengeluar atau pemborong kerana harga yang tinggi, selain permintaan di pasaran menurun apabila pelanggan kurang membeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rosli, peniaga yang menghadapi kos tinggi terpaksa menaikkan harga jualan walaupun dengan keuntungan minimum dan kesannya dirasai oleh peniaga kecil, penjaja serta rakyat.

Sebelum ini, kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos bahan api.

Bagaimanapun, kelayakan subsidi BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April berbanding 300 liter sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.

Selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 adalah RON97 (RM5.15 seliter); RON95 tanpa subsidi (RM3.87 seliter).

Harga runcit diesel di Semenanjung ialah RM5.52 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan ialah RM2.15 seliter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN