Harga emas dunia susut, pelabur beralih ke minyak dan dolar - Utusan Malaysia

Harga emas dunia susut, pelabur beralih ke minyak dan dolar

EMAS - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas merosot dalam dagangan awal di pasaran Asia hari ini apabila peningkatan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran mencetuskan aliran keluar luar biasa daripada logam kuning ke sektor minyak dan dolar.

Meskipun susut, harga jongkong kekal kukuh di atas paras AS$5,000 (RM19,825) seauns berikutan permintaan terhadap aset selamat masih tinggi ekoran ketidaktentuan perang yang berlarutan.

Emas spot jatuh dua peratus kepada AS$5,064.71 seauns atau RM645.70 segram setakat pukul 9 pagi tadi. 

Keadaan ini menyaksikan dolar mengatasi emas sepanjang minggu lalu, sementara harga minyak pula menerajui pasaran komoditi selepas serangan ke atas kemudahan minyak Iran menandakan gangguan bekalan yang serius.

Pada pukul 11.44 pagi, harga minyak Brent melonjak ke AS$114.26 (RM453.21) manakala WTI naik ke AS$114.53 (RM454.28).

Sementara itu, minyak mentah AS melonjak sekitar 35 peratus minggu lalu, mencatatkan keuntungan terbesar dalam sejarah dagangan niaga hadapan sejak 1983. 

Kali terakhir harga minyak melepasi AS$100 (RM396.50) setong adalah selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

Harga minyak mentah melepasi AS$110 (RM436.15) setong pada Ahad selepas pengeluar utama Timur Tengah mengurangkan pengeluaran berikutan penutupan laluan kritikal Selat Hormuz akibat perang Iran.

Minyak West Texas Intermediate (WTI) melonjak 26.5 peratus atau AS$24 (RM95.16) kepada AS$114.9 (RM455.58) setong. 

Penanda aras global, Brent, turut meningkat 23 peratus atau AS$21.56 (RM85.48) kepada AS$114.25 (RM453.00).

Sejurus selepas harga minyak melonjak melepasi AS$100 pada pembukaan dagangan malam Ahad, Presiden Donald Trump menerusi hantaran di Truth Social menyatakan bahawa kenaikan “harga minyak jangka pendek” adalah “harga yang sangat kecil untuk dibayar” bagi memusnahkan ancaman nuklear Iran.

Dalam pada itu, emas susut kira-kira dua peratus minggu lalu dan terus bergerak tidak menentu antara julat AS5,000 (RM19,825) hingga paras tertinggi rekod hampir AS5,600 (RM22,204) yang dicapai pada akhir Januari lalu.

Turut terkesan, harga logam berharga lain menyaksikan kejatuhan dengan perak spot susut 2.5 peratus kepada AS82.12 (RM325.61) seauns, manakala platinum merosot 4.2 peratus kepada AS2,050.29 (RM8,129.40) seauns. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN