KANGAR: Lonjakan harga diesel sehingga 100 peratus menyebabkan pengusaha perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi terpaksa mengambil langkah menyusun semula jadual perjalanan daripada lima kepada tiga trip sehari.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Dr. Baharin Baharom berkata, pengusaha berdepan risiko gulung tikar sekiranya langkah catuan jadual perjalanan yang bermula semalam itu tidak dilaksanakan segera susulan lonjakan mendadak harga diesel industri.
Beliau berkata, kenaikan harga diesel industri dari RM3.20 seliter kepada RM7.30 seliter memberi tekanan besar kepada kos operasi pengusaha feri, sekali gus menjejaskan kelangsungan operasi harian.
“Terdapat pihak yang menyalahkan pengusaha feri atas tindakan pengurangan jadual ini dan menganggap ia menjejaskan kemudahan kepada pengguna. Pengusaha feri menegaskan bahawa persepsi tersebut tidak mengambil kira realiti sebenar industri,” katanya.
Baharin berkata, kadar tambang feri ke Langkawi selama ini adalah antara yang paling rendah di Malaysia, iaitu sekitar 88 sen per batu nautika.
Beliau berkata, kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding laluan ke pulau-pulau lain seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah sekitar RM2 per batu nautika. –UTUSAN











