PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan beliau tidak berhasrat untuk menyertai semula UMNO, namun tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah untuk memperkukuh kerjasama politik bagi menyelamatkan negara menerusi agenda ‘Reset’ yang dibawa oleh beliau.
“Jadi kalau soalannya sama ada saya masuk UMNO atau tidak, lagi pun (saya) nampak banyak parti yang bersama dengan saya, jadi saya tengoklah macam mana untuk masa depan rakyat.
“Yang penting kepada saya adalah semuanya bersetuju untuk kita ‘reset’ segala apa yang berlaku dalam negara kita ini kerana ada perkara yang kita pasti perlukan pembetulan dalam negara kita ini.
“Jadi kalau kita nak buat pembetulan, kita perlukan kekuatan, maka sepatutnya UMNO menjadi salah satunya anggota yang patut bersama dalam perjuangan in untuk memastikan segala apa yang berlaku itu dapat kita selesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Pembangkang di sini hari ini.
Terdahulu, antara beberapa pemimpin parti yang dilihat hadir termasuk Presiden Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan pemimpin Pas yang juga ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.
Majlis itu turut dihadiri Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Media sebelum ini melaporkan, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan bahawa ramai pemimpin daripada pelbagai parti turut bersama dengannya dalam usaha memperkukuh agenda berkenaan.
Jelasnya, ini kerana terdapat beberapa perkara yang memerlukan perhatian serius bagi memastikan negara memperoleh momentum baharu dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu semasa.
“Kalau kita perlukan ‘traction’, kita perlukan kekuatan, yang patut bersama dalam perjuangan ini untuk memastikan segala apa yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Ditanya sekali lagi sama ada beliau berminat untuk kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat, Hamzah hanya memberi jawapan ringkas bahawa perkara itu tiada keperluan.
“Tak payah masuklah,” katanya. – UTUSAN










