Hampir 400,000 mohon kemasukan Tahun 1 2027 - Utusan Malaysia

Hampir 400,000 mohon kemasukan Tahun 1 2027

WONG Kah Woh menyampaikan sumbangan Yayasan Didik Negara kepada pelajar Maahad Al Tarbiah Al Islamiah semasa program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan di sekolah tersebut di Changkat Jering dekat Taiping, Perak semalam. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kementerian Pendidikan (KPM) telah menerima 398,671 permohonan untuk kemasukan Tahun 1 bagi sesi 2027 setakat 9 Mac, membabitkan kanak-kanak yang lahir pada tahun 2020 dan 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada angka tersebut, seramai 338,714 pemohon akan berusia tujuh tahun pada 2027, manakala 59,957 lagi berumur enam tahun.

Katanya, kementerian terus memantau jumlah permohonan tersebut yang dibuka dari 15 Februari hingga 31 Mac 2026 ini.

“Kita pantau dari masa ke semasa berkenaan pendaftaran secara dalam talian ini. Daripada situ kita juga akan memastikan bahawa fasiliti dan prasarana dari segi ketersediaan bilik darjah itu adalah mencukupi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa program Jaulah Ramadan KPM di SABK Maahad Al Tarbiah Al Islamiah di sini semalam.

Bagi kohort enam tahun, tarikh lahir yang layak adalah antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021 manakala kohort tujuh tahun melibatkan kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.

Tambah Kah Woh, selepas hujung bulan ini KPM akan mempunyai statistik bagi menentusahkan angka sebenar berhubung keperluan setiap sekolah seperti bilik darjah tambahan.

“Bukan bermakna kita tidak mempunyai rancangan. Sekolah yang dari segi trend atau tradisi yang mungkin akan menarik lebih ramai murid, kita sudah bersedia dengan pemetaan kita. Hal ini dapat dimuktamadkan pada akhir bulan ini,” katanya.

Dalam majlis yang dihadirinya, Timbalan Menteri itu turut mengumumkan peruntukan bagi pihak kementerian sebanyak RM50,000 kepada SABK Maahad Al Tarbiah Al Islamiah bagi tujuan penyelenggaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN