PASIR SALAK: Penduduk Labu Kubong di sini bimbang dilanda banjir pada musim tengkujuh, susulan ban penghalang banjir yang rosak teruk sejak beberapa bulan lalu.
Tinjauan mendapati, struktur ban itu berlubang, merekah, pecah dan mendap, yang mana kerosakan semakin serius akibat cuaca panas.
Pekebun kelapa sawit, Shamsudin Mohd. Kasim, 80, berkata, ia rosak kira-kira tiga bulan lalu dan perlu dibaiki segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
Katanya, sekiranya tidak dibaiki, kampung dan kebun sawit akan ditenggelami air, terutama apabila Sungai Kinta melimpahi tebing ketika hujan.
“Faktor cuaca mungkin menyebabkan ban penahan banjir ini rosak. Buat masa ini memang tiada risiko banjir kerana cuaca panas, namun semasa musim tengkujuh kawasan ini terdedah kepada risiko banjir.
“Kami berharap masalah ini diberikan perhatian serius dan kerosakan diperbaiki sebelum tiba musim tengkujuh,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Zambry Abas, 41, berkata, banjir termenung pada Oktober tahun lalu menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan menumpang di rumah saudara-mara.
Katanya, banyak kawasan kelapa sawit dan sawah padi ditenggelami air selama berminggu-minggu sehingga menjejaskan tanaman dan pendapatan penduduk.
“Saya berharap kerajaan memperbaiki ban ini. Lebih elok jika kerja-kerja pembaikan dilakukan pada musim panas ketika ini, ia lebih mudah berbanding jika dilakukan pada musim tengkujuh.
“Struktur yang dibaiki perlu diperkuatkan supaya lebih tahan lama pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










