ALOR SETAR: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan lelaki bergelar ‘Geng Lobo’ yang dipercayai aktif melakukan kegiatan kecurian kabel di seluruh negara sejak tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kumpulan itu dikesan terlibat beberapa kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia di daerah ini dan negeri lain terutama di kawasan perumahan.
Menurut beliau, kumpulan tersebut yang diketuai seorang lelaki dikenali ‘Lobo’ ditahan pada 9 Februari lepas dalam satu serbuan di rumah lelaki berkenaan dekat Pulau Pinang.
“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini dianggotai kira-kira lima lelaki berusia antara 30 hingga 61 tahun. Kesemua mereka dipercayai penagih dadah serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Kumpulan ini akan menyasarkan kawasan ‘mainhole’ yang dikenal pasti mempunyai kabel sebelum melakukan kecurian menggunakan peralatan khas mengesan logam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini hari ini.
Tambah beliau, kabel yang dicuri tersebut kemudian dijual di sebuah premis membeli barangan lusuh di Sungai Petani.
Katanya, siasatan polis mendapati kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 27 kes jenayah di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes melibatkan curi kabel, satu kes curi komponen kenderaan dan satu kes menghalang penjawat awam. Modus operandi mereka adalah melakukan jenayah itu ketika kawasan sasaran sunyi terutama awal pagi.
“Kes jenayah itu dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Kedah iaitu lapan kes, Perlis (satu), Pulau Pinang (enam), Perak (tiga), Johor (tiga), Melaka (dua), Negeri Sembilan (tiga) dan Kuala Lumpur (satu),” katanya.
Menurut beliau, setakat ini empat kes berkenaan mendapat arahan pertuduhan di mahkamah mengikut Seksyen 431A; Seksyen 411 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(E) Akta Pencegahan Jenayah. – UTUSAN










