Gas Malaysia dijangka raih untung daripada pergolakan Asia Barat - Utusan Malaysia

Gas Malaysia dijangka raih untung daripada pergolakan Asia Barat

GAS Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dijangka menerima manfaat daripada pergolakan berterusan di Asia Barat yang berpotensi mengekalkan harga gas asli pada paras tinggi untuk tempoh lebih lama.

Menurut UOB Kay Hian, diangarkan kira-kira 40 peratus keuntungan bersih Gas Malaysia datang daripada jualan gas asli kepada lebih 1,000 pelanggan industri.

“Analisis menunjukkan setiap perubahan satu peratus dalam harga gas asli boleh menjejaskan keuntungan bersih syarikat sehingga empat peratus.

“Jika konflik berterusan melebihi enam bulan dan mengekalkan harga minyak tinggi, Gas Malaysia dijangka meraih manfaat kerana kenaikan harga gas asli akan meningkatkan keuntungan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma itu berkata, minyak mentah Brent, penanda aras global bagi minyak mentah mencatat turun naik ketara sejak permulaan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran bulan ini.

“Ia merekodkan peningkatan sehingga AS$119.50 (RM469.04) setong sebelum susut di bawah AS$90 setong.

“Harga gas asli cecair (LNG) di Asia pula melonjak 46 peratus dalam tempoh seminggu.

“Harga gas domestik ditetapkan berdasarkan Malaysia Reference Price yang dijadikan penanda aras nilai eksport, dengan tempoh kelewatan kira-kira enam bulan antara harga rujukan suku tahunan dan Brent,” ujarnya.

Dalam pada itu, UOB Kay Hian berkata, bagi Tenaga Nasional Bhd., kenaikan harga gas asli dijangka memberi kesan kecil kepada tarif elektrik kerana majoriti tenaga elektrik dijana daripada loji janakuasa arang batu, manakala hanya 35 peratus dari loji gas.

“Hanya tujuh peratus penggunaan gas sektor tenaga tahun lalu tertakluk kepada harga global, manakala baki bekalan diperoleh daripada syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

“Selain itu, mekanisme pelarasan bahan api automatik melindungi Tenaga Nasional daripada kos bahan api tinggi kerana kos tambahan akan diterjemahkan terus ke tarif elektrik dalam tempoh sebulan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN