Gambar tular al-Quran dipijak, diconteng: Sabah jalankan siasatan segera - Utusan Malaysia

Gambar tular al-Quran dipijak, diconteng: Sabah jalankan siasatan segera

MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menjalankan siasatan segera berhubung penularan gambar kitab suci al-Quran yang dipijak serta diconteng dengan lukisan tidak senonoh di laman media sosial, dipercayai dilakukan oleh individu dari negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri (KKTP) merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menghina agama Islam.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan biadab dan melampau kerana mencemarkan kesucian agama serta mengguris perasaan umat Islam.

“Perbuatan ini adalah biadab dan melampau serta cuba mencemarkan maruah agama Islam.

“Saya meminta pihak berkuasa khususnya Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita tidak boleh berkompromi dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Arifin berkata, perbuatan menghina al-Quran itu tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi berlaku pada bulan Ramadan yang mulia.

Menurut beliau, tindakan melampau berkenaan berpotensi menimbulkan keresahan dan kemarahan umat Islam serta boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya bertenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN