SEREMBAN: Fasa pertama projek pembangunan semula CMH Specialist Hospital siap dengan pembinaan sebuah blok parkir enam tingkat bernilai RM10 juta.
Ia menyediakan sebanyak 310 petak parkir baharu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan parkir di hospital tersebut kepada 450 petak.
Presiden Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, pembinaan bangunan parkir seluas 18,000 kaki persegi itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan semula hospital berkenaan bertujuan meningkatkan kemudahan kepada pengunjung.
Menurutnya, blok parkir tersebut dibina bagi menampung peningkatan jumlah pesakit dan pelawat yang menyebabkan kekurangan ruang parkir sebelum ini.
“Dengan siapnya blok parkir ini, sebanyak 310 petak parkir baharu dapat disediakan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan parkir di hospital ini meningkat kepada 450 petak.
”Untuk tempoh yang agak lama, disebabkan oleh perkembangan hospital, kekurangan ruang parkir telah menyebabkan kesulitan kepada ramai pesakit dan pelawat.
“Tujuan kami dengan pembangunan baharu ini adalah untuk memastikan para pesakit yang datang mendapatkan rawatan, ahli keluarga mereka, serta para pelawat dapat menikmati pengalaman yang lebih selesa dan mesra ketika berkunjung ke hospital ini.
“Pihak hospital juga mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang bayaran parkir kepada pesakit dan pelawat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Blok Baharu Parkir Enam Tingkat dan Majlis Berbuka Puasa di Hospital Pakar CMH di sini, semalam.
Dalam pada itu, Tian Hock berkata, hospital berkenaan bakal memulakan fasa kedua projek menaik taraf kemudahan pada tahun ini jugam
Katanya, projek tersebut melibatkan pembinaan sebuah bangunan perubatan baharu 10 tingkat yang baharu dengan kos lebih RM100 juta.
“Blok A dan Blok C sedia ada dijangka akan dirobohkan antara April hingga Julai ini sebelum pembinaan blok perubatan baharu bermula pada bulan September serta dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2029,” katanya.
Tian Hock berkata bangunan 10 tingkat berkenaan akan dilengkapi dengan parkir bawah tanah dan 166 buah katil pesakit.
“Projek naik taraf ini akan memperluaskan lagi perkhidmatan hospital pakar termasuk menambah bilangan katil dan klinik pakar dan meningkatkan keupayaan teknologi perubatan.
“Ia sekali gus memperkukuh kapasiti keseluruhan hospital demi masyarakat,” katanya.
Menurutnya, menerusi projek pembangunan baharu tersebut, pihaknya berharap dapat menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan kepada komuniti.
“Selain itu, ia juga dapat memperkukuhkan peranan hospital ini dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mengira kaum,” katanya. – UTUSAN










