PETALING JAYA: Sokongan rakyat terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kekal positif, namun ia sangat bergantung kepada manfaat nyata yang boleh dirasai penduduk tempatan, khususnya peluang pekerjaan dan kemampuan pemilikan kediaman.
Dapatan itu diperolehi menerusi kajian sentimen awam terbaharu oleh Central Force International menjelang pengumuman Pelan Induk JS-SEZ yang dijadualkan pada 30 Mac ini.
Kajian mendedahkan sebanyak 81.4 peratus responden meletakkan penciptaan peluang pekerjaan untuk warga tempatan sebagai syarat utama sokongan mereka, diikuti perumahan mampu milik (70.1 peratus) dan perancangan trafik yang berkesan (47.3 peratus).
Ketua Pegawai Eksekutif Central Force, See Toh Wai Yu berkata, walaupun pelaburan diluluskan berkaitan JS-SEZ dilaporkan mencecah RM37.1 bilion dalam tempoh enam bulan, angka pelaburan semata-mata tidak secara automatik diterjemahkan kepada keyakinan awam.
“Rakyat mentafsirkan JS-SEZ melalui faktor ketara yang boleh mereka lihat atau alami sendiri. Ini menunjukkan keperluan komunikasi yang berkesan dan penyusunan strategi yang teliti adalah sama pentingnya dengan aliran masuk modal,” katanya dalam kenyataan.
Kajian itu turut mendapati wujudnya jurang kesedaran apabila 64 peratus penduduk Johor masih tidak jelas mengenai butiran inisiatif tersebut atau bagaimana ia memberi kesan secara langsung kepada mereka.
Selain itu, kos sara hidup muncul sebagai pemboleh ubah risiko utama dengan 21.6 peratus responden menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kos harian, manakala 13.8 peratus lagi bimbang tentang kenaikan harga hartanah.
“Isyarat paling kuat dalam data berkaitan kos sara hidup dan perumahan menunjukkan bahawa isi rumah sedang menilai sama ada pembangunan ini akan menambah baik atau membebankan realiti ekonomi harian mereka,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan hampir 38 peratus responden masih berasa tidak pasti, Pelan Induk yang bakal diumumkan bukan sekadar rangka kerja sektor, tetapi isyarat keyakinan.
“Komitmen yang jelas mengenai pengambilan pekerja tempatan, kemampuan perumahan, dan urutan infrastruktur akan menentukan sama ada ketidaktentuan tersebut akan bertukar menjadi sokongan padu dalam jangka masa panjang,” katanya. –UTUSAN










