GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol digugurkan daripada barisan Exco Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan pengganti kepada Fahmi dijangka diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, petang ini.
Pada Jumaat lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya.Fahmi, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, Fahmi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Nur Hidayah Abd. Jabar, 35, di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas kira-kira pukul 10 malam pada 22 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan. – UTUSAN









