KUALA LUMPUR: Rancangan enam pengikut militan Islamic State (IS) termasuk tiga bawah umur untuk melakukan serangan terhadap balai polis dan premis awam berjaya digagalkan selepas mereka ditahan dalam operasi khas pada 14 hingga 15 Februari lalu.
Penahanan semua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Khas dalam operasi yang dijalankan di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, semua suspek tersebut dipercayai telah berbai’ah kepada pemimpin IS dan merekrut ahli baharu, memiliki bahan berkaitan militan dan aktif mempromosikan kumpulan pengganas di media sosial.
“Siasatan awal mendapati kecenderungan melayari kandungan berkaitan konflik di Timur Tengah serta permainan dalam talian seperti Roblox dipercayai mempengaruhi pemikiran radikal dalam kalangan suspek termasuk remaja.
“Mereka juga dipercayai mewujudkan beberapa kumpulan di platform komunikasi seperti WhatsApp, Telegram dan Discord yang mempromosikan ideologi pro-IS dengan jumlah pengikut melebihi 1,000 orang melibatkan dalam dan luar negara,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman semalam.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan kesemua suspek mempunyai kaitan dengan bekas ahli kumpulan militan yang masih bebas atau pernah ditahan sebelum ini.
“Siasatan ini memerlukan masa kerana berkemungkinan melibatkan kumpulan yang lebih besar termasuk individu warga asing.
“Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada agensi penguat kuasa serta negara jiran bagi membantu mengesan individu yang masih bebas,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, penahanan enam suspek itu hasil risikan dan perkongsian maklumat mengenai aktiviti penyebaran ideologi radikal, perekrutan ahli baharu serta promosi propaganda IS melalui platform dalam talian sejak 2025.
Katanya, semua suspek ditahan di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu dalam operasi khas yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman pada 14 hingga 15 Februari lalu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemukan pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk 11 telefon bimbit, empat bendera IS, dua komputer riba, satu cakera keras serta tiga buku berunsur ekstremisme.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibuat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tanpa mengabaikan hak yang termaktub di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan kesemua suspek mempunyai kaitan dengan bekas ahli kumpulan militan yang masih bebas atau pernah ditahan sebelum ini.
“Siasatan ini memerlukan masa kerana berkemungkinan melibatkan kumpulan yang lebih besar termasuk individu warga asing.
“Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada agensi penguat kuasa serta negara jiran bagi membantu mengesan individu yang masih bebas,” jelasnya.
Jelas Mohd. Khalid, pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh kesemua enam suspek di mahkamah pada minggu hadapan di bawah pelbagai seksyen termasuk Seksyen 130J kerana mempromosi kumpulan pengganas dan Seksyen 130JB kerana memiliki bahan berkaitan keganasan.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid berkata, pendedahan berlebihan kepada kandungan berunsur peperangan di internet boleh mendorong seseorang berfikir tentang serangan dan keganasan terutama apabila terlibat dalam perbincangan dalam kumpulan tertutup di media sosial.
Katanya, kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2024 yang mengorbankan dua anggota polis turut menjadi peringatan bagaimana proses doktrin boleh berlaku secara berperingkat sebelum seseorang bertindak melakukan keganasan.
“Sehubungan itu, pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa termasuk Cawangan Khas amat penting bagi mengesan lebih awal sebarang aktiviti yang boleh mendorong kepada keganasan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam memantau aktiviti anak-anak di internet kerana kebebasan media sosial tanpa sempadan boleh membuka ruang kepada pengaruh ideologi ekstremisme.-UTUSAN










