Eksport minyak ke Asia dikurangkan, dorong tekanan harga - Utusan Malaysia

Eksport minyak ke Asia dikurangkan, dorong tekanan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Saudi Aramco mengurangkan eksport ke Asia untuk bulan kedua pada April berpotensi mengetatkan bekalan serantau dan menyokong lonjakan harga dalam jangka pendek hingga sederhana.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, Arab Saudi cuba mengalihkan lebih banyak eksport minyak melalui Yanbu di Laut Merah, namun kapasiti penggantian itu tidak sempurna dan pembeli Asia tetap berdepan bekalan yang lebih ketat.

Ujarnya, langkah Arab Saudi Aramco untuk mengurangkan eksport minyak ke Asia boleh menyebabkan harga minyak di kawasan itu meningkat.

“Dalam persekitaran ini, margin penapisan dan harga produk petroleum di Asia boleh kekal tinggi. Apabila mereka mengurangkan jumlah minyak yang dihantar, ia menyebabkan bekalan menjadi lebih sedikit, sementara permintaan masih tinggi.

“Bagi Malaysia, kesannya bukan semestinya melalui kekurangan fizikal bekalan domestik secara langsung, tetapi melalui harga import produk petroleum yang lebih mahal dan kos perdagangan serantau yang meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Reuters melaporkan pengeksport minyak utama dunia, Saudi Aramco telah mengurangkan bekalan minyak mentah kepada pembeli Asia untuk bulan kedua pada bulan April, selepas perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran mengganggu perdagangan melalui Selat Hormuz.

Menurut sumbernya, pengeluar itu hanya membekalkan minyak mentah Arab Light yang dieksport dari pelabuhan Yanbu di Laut Merah kepada pelanggan tetap pada bulan April, memastikan bekalan ke kilang penapisan Asia ketat dan mengehadkan pengeluaran produk penapisan mereka.

Sementara itu, Siong Hook berkata, sensitiviti harga minyak kepada risiko ‘headline’ sangat tinggi ketika ini yang menyaksikan harga minyak jatuh selepas Presiden AS, Donald Trump memberi bayangan konflik akan tamat, namun naik selepas Iran menafikan rundingan tersebut.

Menurutnya, pasaran minyak sekarang bukan sekadar bertindak balas kepada data asas bekalan dan permintaan, tetapi juga kepada perubahan naratif geopolitik dari masa ke semasa.

“Pasaran minyak ketika ini bukan sahaja dipacu oleh asas bekalan dan permintaan, tetapi semakin dipengaruhi oleh perubahan imbangan kuasa geopolitik yang sukar diramal, menjadikan volatiliti harga lebih berstruktur berbanding bersifat sementara,” jelasnya.

Beliau berkata, situasi semasa memberikan implikasi yang bercampur-campur antara manfaat hasil dan tekanan kos kepada Malaysia.

Jelasnya, Malaysia masih mendapat manfaat tertentu apabila harga minyak lebih tinggi kerana eksport petroleum mentah, produk petroleum bertapis dan gas asli cecair (LNG) kekal penting kepada perdagangan negara.

“Jabatan Perangkaan menunjukkan nilai eksport bagi komoditi petroleum dan LNG masih besar pada suku akhir 2025. Pada masa sama, Malaysia juga mengimport minyak mentah dan produk petroleum, jadi kenaikan harga global akan meningkatkan kos input tenaga dan kos import.

“Dari sudut inflasi, kesan limpahan boleh berlaku melalui pengangkutan, logistik dan kos pengeluaran serta harga makanan walaupun pemindahan kepada pengguna akhir mungkin lebih beransur kerana mekanisme harga runcit dan subsidi,” ujarnya.

Bagi memastikan bekalan minyak dalam pasaran tempatan kekal mencukupi, beliau mengesa kerajaan untuk pastikan permintaan domestik kekal berdaya tahan dan dapat mengurangkan ketirisan terutamanya di sempadan Utara dan Selatan negara supaya tiada salah guna subsidi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN