Ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun geopolitik dunia tidak menentu

Ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun geopolitik dunia tidak menentu

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan kukuh tahun ini meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi ekonomi negara tahun lalu menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat mencatatkan 6.3 peratus, manakala keseluruhan tahun 2023 berkembang 5.2 peratus.

Menurutnya, momentum tersebut dipacu oleh pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan selain peningkatan pelaburan domestik dan perbelanjaan dalam negara.

“Alhamdulillah, tahun lalu kita lihat ekonomi Malaysia memang kembali rancak. Pertumbuhan suku keempat KDNK adalah 6.3 peratus dan keseluruhan tahun 2023 mencatatkan 5.2 peratus.

“Ini dipacu oleh pembaharuan ekonomi yang kita lakukan, pelaburan domestik serta perbelanjaan dalam negara. Kita menjangkakan momentum ini berterusan tahun ini dan Malaysia bermula dalam keadaan yang lebih stabil serta lebih kukuh,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil langkah pencegahan bagi memastikan ekonomi negara kekal mampan dengan memperkukuh pelaburan domestik serta meningkatkan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

“Pendekatan yang kita ambil termasuk memperbanyakkan projek kecil seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 bagi membantu peniaga tempatan supaya mereka mempunyai kestabilan dalam perniagaan.

“Pada masa sama, kita akan terus melaksanakan pembaharuan ekonomi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini,” katanya.

Tambah beliau, ketidaktentuan geopolitik dunia juga boleh membuka peluang kepada Malaysia kerana negara ini dilihat pelabur sebagai destinasi yang stabil dan berpotensi – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN