SEPANG: Hanya kerana berebut tempat letak kereta, dua lelaki tempatan yang juga pemandu e-hailing sanggup bertumbuk sebelum kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian itu sempat dirakam orang awam di tempat letak kenderaan E-Hailing Tempat Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP), KLIA pada 4 Mac lalu.
Beliau berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian melibatkan dua lelaki tempatan berusia 50 tahun 34 tahun yang berselisih faham berkaitan perebutan petak meletak kenderaan.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan yang dibuat dan kedua-dua individu yang terlibat sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Ravi berkata, ketika siasatan dijalankan, kedua-dua individu terbabit telah berbincang dan bersetuju menyelesaikan perkara tersebut secara baik.
“Pengadu yang membuat laporan polis juga mengambil keputusan untuk tidak mahu pihak polis meneruskan siasatan lanjut terhadap kes ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan disaran melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang permasalahan berkaitan tempat letak kenderaan di kawasan awam khususnya di KLIA. – UTUSAN










