Ketika pelajar seusia mereka masih lena dibuai mimpi, kira-kira 100 hingga 150 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong (SMK Dabong) Kuala Krai sudah bersiap seawal pukul 5 pagi demi memastikan tidak terlepas satu-satunya ‘talian hayat’ ke sekolah iaitu perkhidmatan kereta api.
Di pedalaman Kelantan itu, deruman enjin tren milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bukan sekadar bunyi rutin pagi, tetapi simbol harapan dan masa depan ratusan anak pelajar di kawasan tersebut.

Bagi pelajar yang tinggal di Kampung Kemubu, Slow Pok Long, Ulu Temiang dan Kuala Gris, perkhidmatan KTMB Antarabandar menjadi nadi utama perjalanan menuntut ilmu.
Pengalaman tertinggal kereta api menjadi ‘asam garam’ yang perlu dihadapi oleh pelajar SMK Dabong.
Bagi Muhammad Mifzal Azfar Abdul Hafiz, 16, yang sudah empat tahun berulang-alik menaiki kereta api memberitahu, jika terlepas tren dia tidak akan dapat ke sekolah.

Katanya, pengalaman tertinggal tren akibat terlewat bangun tidur pernah menjadi detik sukar buatnya, namun, insiden itu mengajarnya tentang erti disiplin dan tanggungjawab.
“Sekarang saya pastikan sampai di stesen sebelum pukul 6 pagi bagi mengelakkan tertinggal kereta api.
“Dulu susah juga nak biasakan diri, tapi lama-lama jadi rutin,” ujarnya yang berasal dari Kampung Slow Pok Long.

Bagi Che Nazirah Hamid, 17, pengalaman tertinggal tren membuatkan dia lebih berwaspada dengan masa.
Katanya, sejak itu dia sentiasa berwaspada dengan mengunci jam bagi mengelak dia ditinggalkan kereta api seterusnya gagal ke sekolah.
“Sebaik sahaja jam loceng berbunyi, saya akan terus bangun dan mandi seterusnya bersiap untuk ke sekolah.
“Walaupun jarak rumah dengan stesen tidak jauh, namun saya lebih selesa bersiap sedia lebih awal bagi mengelakkan tertinggal tren,” ujarnya.
Seorang pelajar tingkatan satu dari Kampung Kuala Gris, Nur Adriana Amani Mohd Zulkifli, 13, mengakui teruja dan ini merupakan pengalaman pertama menaiki kereta api untuk ke sekolah.
Katanya, walaupun terpaksa menunggu kereta api seawal pukul 6.15 pagi namun perkara itu tidak mematahkan semangat untuk ke sekolah.
“Ini kali pertama saya ke sekolah naik kereta api. Masa sekolah rendah menaiki basikal,” katanya.
Di sebalik cabaran itu, suasana pelajar menaiki tren setiap pagi mencipta panorama unik yang jarang dilihat di tempat lain.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB, Mohd. Azhar Abu Bakar yang menyifatkan Dabong antara lokasi paling istimewa dalam rangkaian perkhidmatan mereka.
Mohd. Azhar berkata, kesemua pelajar ini menggunakan perkhidmatan kereta api secara percuma melalui Program MyRailLife.
Katanya, melalui program itu ia membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. –UTUSAN










