PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertikaian di Asia Barat perlu ditangani melalui jalan damai bagi meredakan ketegangan yang kian meruncing di rantau berkenaan.
Beliau berkata, diplomasi dan kerjasama erat antara negara adalah satu-satunya jalan bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan serta prinsip keadilan sejagat.
“Saya menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat, di samping menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat daripada serangan balas yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan perbualan telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan hari ini.
Selain membincangkan isu keselamatan serantau, Anwar berkata beliau dan kedua-dua pemimpin berkenaan turut saling bertukar ucapan Aidilfitri serta mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat rakyat di negara masing-masing.-UTUSAN










