PETALING JAYA: Perbankan Persendirian HSBC menasihatkan pelabur supaya menumpukan kepada pembinaan daya tahan portfolio melalui pempelbagaian meluas bagi menangani ketidaktentuan geopolitik global yang semakin mencabar.
Menerusi laporan gambaran pelaburan suku kedua 2026 bertajuk Changing Narratives, Continued Opportunity, HSBC menekankan bahawa reaksi pasaran terhadap peristiwa geopolitik lazimnya bersifat sementara dan pelabur digesa mengelak daripada cuba meramal titik keluar masuk pasaran yang berisiko tinggi.
Ketua Pegawai Pelaburan Global Perbankan Persendirian HSBC, Willem Sels berkata, dalam persekitaran pasaran yang berubah pesat, pelabur perlu berhati-hati agar tidak terikut dengan naratif yang terlalu pesimis mahupun optimis.
Berita Berkaitan:
“Ketidaktentuan pasaran emas tahun ini membuktikan tiada aset pempelbagai yang sempurna.
“Oleh itu, kami terus mempelbagaikan aset merentasi sektor, geografi dan kelas aset untuk memastikan pulangan yang lebih stabil,” katanya dalam laporan tersebut.
Bagi mendepani suku kedua 2026, HSBC menggariskan empat keutamaan strategik yang dimulakan dengan langkah melengkapkan pendedahan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui peluang mengikut kitaran.
Pendekatan itu mengekalkan tumpuan kepada pemacu pertumbuhan berstruktur AI seperti semikonduktor dan infrastruktur elektrik, sambil meluaskan keterlibatan ke dalam sektor kitaran termasuk industri, kewangan, perkhidmatan komunikasi dan bahan bagi mengimbangi portfolio.
Keutamaan kedua memfokuskan kepada usaha merungkai kuasa pendapatan melalui strategi bon gred pelaburan daripada pasaran membangun yang dijangka dapat menyokong penjanaan pulangan ketika potongan kadar perbankan global mula berkurangan.
Selain itu, bank tersebut menyarankan penggunaan pilihan alternatif dan strategi pelbagai aset untuk menangani ketidaktentuan pasaran awam.
“Langkah ini melibatkan peruntukan kepada dana lindung nilai serta pasaran swasta bagi mengakses inovasi syarikat persendirian dan mempelbagaikan pendedahan mata wang asing dalam mendepani dasar penyelesaian yang mungkin berpecah,” katanya.
Dalam pada itu, HSBC menekankan kepentingan memanfaatkan inovasi dan pendapatan di Asia sebagai pemacu pengukuhan portfolio yang sebelum ini lebih cenderung kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Rantau Asia dilihat mampu memberikan akses kepada pertumbuhan jangka masa panjang yang lebih berdaya tahan, sekali gus bertindak sebagai pempelbagai aset yang efektif dalam mendepani risiko penumpuan geografi,” katanya.
Bagi pasaran domestik, Pakar Strategi Pelaburan Asia HSBC, Abhilash Narayan menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh disokong oleh penggunaan domestik, perbelanjaan infrastruktur, pusat data dan sektor pelancongan.
Walau bagaimanapun, HSBC mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia sedikit melandai kepada 4.5 peratus pada 2026, berbanding 4.9 peratus pada 2025.
“Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar faedah pada 2.75 peratus sepanjang 2026, memandangkan kadar inflasi masih boleh ditangani meskipun terdapat permintaan domestik yang tinggi,” katanya.
Mengenai prestasi mata wang, ringgit diiktiraf sebagai antara mata wang Asia paling kukuh berbanding dolar AS pada 2026, justeru HSBC menjangkakan pasangan mata wang USD/MYR akan menghampiri paras 3.85 menjelang penghujung tahun ini.
Meskipun tinjauan ekonomi memberangsangkan, HSBC mengambil kedudukan ‘neutral’ terhadap aset ekuiti di Malaysia untuk tempoh enam bulan akan datang.
Ini disebabkan sektor pertumbuhan utama seperti elektronik dan pusat data masih kurang diwakili dalam indeks saham tempatan, dengan unjuran pertumbuhan pulangan sekitar 9 peratus bagi tahun 2026. –UTUSAN











