Bersatu susun semula organisasi, tiada bahagian dibubarkan - Utusan Malaysia

Bersatu susun semula organisasi, tiada bahagian dibubarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tiada mana-mana bahagian parti itu dibubarkan walaupun terdapat dakwaan sedemikian susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin parti.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu diperjelaskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang memberi tumpuan kepada laporan serta syor Jawatankuasa Petugas Khas.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut dianggotai  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi meneliti serta memperkemaskan struktur organisasi Bersatu di seluruh negara.

“MPT berpuas hati dengan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan untuk menyusun semula struktur organisasi di peringkat bahagian dengan penyertaan semula ramai tokoh pengasas Bersatu.

“Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini agak tersisih kini kembali membantu memperkukuh parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat MPT di sini.

Muhyiddin berkata, penyusunan semula itu turut membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin muda daripada sayap Armada dan Srikandi untuk mengisi jawatan kepimpinan di peringkat bahagian.

Katanya, langkah tersebut juga bertujuan mengisi kekosongan jawatan yang berlaku susulan beberapa peletakan jawatan dan tindakan disiplin terhadap ahli tertentu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan hanya MPT mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian parti seperti termaktub dalam perlembagaan Bersatu.

“Tiada bahagian yang dibubarkan. Apa yang berlaku hanyalah peletakan jawatan atau pemberhentian beberapa individu yang menyebabkan kekosongan jawatan di peringkat bahagian,” katanya.

Selain itu, Bersatu akan menganjurkan Konvensyen Bersatu di peringkat negeri bermula April ini bagi membincangkan pelbagai isu nasional termasuk ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

Muhyiddin berkata, semua badan pimpinan negeri dan bahagian juga diarahkan menubuhkan jawatankuasa pilihan raya serta membuka ‘war room’ sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri atau Pilihan raya umum (PRU) akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN