Belajar secara konsisten kunci kejayaan raih 9A SPM - Utusan Malaysia

Belajar secara konsisten kunci kejayaan raih 9A SPM

ADIB Adham Mohamad Izuddin (dua dari kanan) menunjukkan slip keputusan SPM kepada ibu bapanya di SMK Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Belajar secara konsisten menjadi resepi kejayaan buat Adib Adham Mohamad Izuddin, 18, sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Adib Adham yang merupakan anak kepada pasangan peniaga pasar malam dan suri rumah itu memperoleh gred cemerlang 9A iaitu 6A+, 2A dan 1A-.

Berkongsi rahsia kecemerlangannya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, usaha gigih mengulang kaji pelajaran tanpa mengira masa menjadi kunci utama kejayaannya meraih keputusan cemerlang dalam SPM.

“Sebagai pelajar SPM 2025 yang memulakan sesi persekolahan pada bulan Februari, sudah tentu kami perlu bekerja keras siang dan malam untuk meraih keputusan seperti ini.

“Tempoh masa yang singkat ini memerlukan kami konsisten dalam mengulang kaji pelajaran selain sentiasa menjaga solat yang merupakan amalan utama dalam kehidupan untuk berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.

Menurut Adib Adham, keputusan cemerlangnya hari ini akan menjadi pembakar semangatnya untuk berjaya sekali gus membanggakan kedua ibu bapanya.

“Keputusan hari ini amat berharga selepas saya berusaha selama dua tahun. Diharap kejayaan ini dapat membanggakan kedua ibu bapa saya,” katanya.

Sementara itu, Damia Solehah Saat, 18, berkata selain menjaga solat, dia turut menitikberatkan hubungan baik dengan ibu bapa dan guru sebagai rahsia kejayaannya meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2025.

Katanya, sebagai pelajar, dia akan memastikan segala tindakannya diredai ibu bapa dan guru sekali gus tidak menyakiti hati mereka.

“Untuk mendapatkan keputusan cemerlang, kita memang perlu belajar secara konsisten. Bagaimanapun, ia tidak memadai tanpa kita menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.

“Saya akan pastikan ibu bapa dan guru tidak berkecil hati dengan perlakuan saya. Sebelum menduduki peperiksaan, saya akan bertemu atau menghubungi mereka untuk minta maaf supaya mereka reda dengan saya,” katanya.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, dengan keputusan cemerlang 7A + dan 2A, dia merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang farmasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN