BAGAN SERAI: Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat mendedahkan beberapa bekas pemimpin dan ahli parti itu di kawasan ini yang sebelum ini menyertai parti lain menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO.
Menurut beliau, perkembangan itu berlaku selepas pengumuman dan seruan kepimpinan tertinggi parti yang membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama UMNO.
“Saya amat bangga dengan Presiden saya, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Apabila beliau mengumumkan mengenai penyatuan kembali keluarga besar UMNO, saya melihat kesannya di peringkat bahagian apabila beberapa rakan lama yang pernah meninggalkan parti telah menghubungi saya secara peribadi,
“Antara yang menghubungi saya termasuk beberapa nama besar di Bagan Serai yang dahulunya merupakan ahli UMNO, tetapi telah menyeberang ke parti lain seperti Bersatu dan Pas. Kini mereka menyatakan hasrat untuk kembali bersama UMNO,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Penyerahan Zakat Perniagaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Bukit Merah Laketown Resort di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau merancang untuk menganjurkan satu majlis khas bagi menerima kembali bekas ahli berkenaan ke dalam UMNO Bahagian Bagan Serai.
“Selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, saya bercadang untuk mengadakan satu majlis bagi menerima kembali keluarga UMNO ini ke dalam UMNO Bahagian Bagan Serai,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini beberapa bekas pemimpin bahagian telah terlebih dahulu menghubunginya bagi menyatakan hasrat tersebut.
“Buat masa ini saya belum dapat menyatakan jumlah sebenar kerana setakat ini yang menghubungi saya ialah dua atau tiga orang yang pernah memegang jawatan penting seperti bekas ketua, bekas naib ketua dan juga ahli jawatankuasa bahagian.
“Ahli-ahli biasa pula belum lagi menghubungi saya. Namun apabila kita umumkan nanti mengenai majlis penerimaan semula ini, saya percaya mungkin akan lebih ramai yang akan tampil untuk kembali bersama UMNO,” katanya.
Sham berkata, perkembangan itu memberi isyarat positif terhadap usaha mengukuhkan kembali sokongan terhadap UMNO di peringkat akar umbi, khususnya di Bahagian Bagan Serai.
“Alhamdulillah, kita melihat ini sebagai satu perkembangan yang baik untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO di Bagan Serai,” katanya. – UTUSAN










