Bekas pemain sepak takraw negara maut kemalangan

Bekas pemain sepak takraw negara maut kemalangan

MOHD. Taufik M. Saad (gambar kecil) meninggal dunia di lokasi kejadian selepas melanggar belakang pikap di KM40.1 Lebuhraya Utara-Selatan selepas Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Mohd. Taufik M. Saad maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikalnya dipercayai melanggar belakang sebuah pikap di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.13 malam, Mohd. Taufik, 41, yang menunggang motosikal jenis skuter Honda ADV160 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Difahamkan, bekas apit kanan negara yang kini berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kelubi Dalam, Jitra selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Bertam Resort, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, skuter itu melanggar bahagian belakang pikap jenis Nissan yang telah berhenti di lorong kecemasan selepas Plaza Tol Hutan Kampung.

“Pikap dipandu lelaki berusia 20 tahun dari Kuala Kedah menuju ke Tunjang, Jitra untuk menghantar tangki air, penunggang motosikal itu pula menghala pulang ke rumah selepas majlis berbuka puasa bersama majikan.

“Ketika itu pikap terbabit sedang berhenti di lorong kecemasan untuk mengetatkan tali yang yang diikat pada tangki air berkenaan sebelum tiba-tiba sebuah motosikal melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan itu,” katanya di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa dan motosikalnya melambung dan terjatuh di tengah-tengah jalan.

Katanya, pemandu pikap terbabit turut mengalami kecederaan patah tangan kiri, sementara seorang penumpangnya yang berusia 22 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian dan pemandu yang cedera turut dirawat di hospital sama.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang melanggar pikap yang sedang berhenti di lorong kecemasan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN