Bekalan makanan negara cukup hingga Jun

Bekalan makanan negara cukup hingga Jun

Mohamad Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA- Bekalan makanan negara seperti beras, daging, ayam, susu segar, sayur telur dan buah-buahan dilaporkan mempunyai stok mencukupi bagi menampung keperluan rakyat sekurang-kurangnya sehingga Jun depan.

Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai supaya tidak panik berikutan bekalan makanan itu masih mencukupi termasuk menjelang sambutan Aidilfitri.

“Buat masa ini jangan kita bimbang apa-apa, kita sambut Hari Raya secara tenang dan konsep berjimat cermat terus kita jalankan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keadaan beras, ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan, semuanya cukup sekurang-kurang sampai bulan lima dan bulan enam yang akan datang.

“Oleh itu rakyat tidak perlu panik apa-apa. Bagaimanpun, pihak kementerian mengambil perhatian khusus untuk kita misalnya memperbanyakkan sayur dan juga ikan dan sebagainya dalam pasaran,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan juga akan mempergiatkan program Komuniti Madani dalam usaha menambahkan bekalan makanan kepada rakyat.

Pada masa sama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga akan terus meningkatkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah bagi membolehkan rakyat menikmati harga berpatutan.

“Sekurang-kurang (berbanding) daripada pasaran biasa, ia dapat turun daripada 10 hingga 30 peratus. Jadi, langkah-langkah seterusnya kita lihat perkembangan-perkembangan yang akan diberi nasihat terutama oleh Kementerian Kewangan.

“Buat masa ini tidak perlu kita berasa cemas apa-apa. Keadaan semua cukup, beras pula kabinet dah setuju kita tambah daripada segi stoknya sampai ke sembilan bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN