Bayi maut: Reman dua pekerja taska disambung tujuh hari

Bayi maut: Reman dua pekerja taska disambung tujuh hari

DUA suspek wanita diiringi oleh anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini untuk mendapatkan perintah lanjutan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki di sebuah taska dalam kawasan hospital, 9 Mac lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua pekerja taska yang disiasat berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), 9 Mac lalu disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kedua-dua suspek wanita itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 tahun sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu serta diiringi oleh beberapa anggota polis.

Terdahulu, kedua-duanya telah direman selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taska dalam kawasan HSJ.

Bayi tersebut kemudian segera dikejarkan ke Jabatan Kecemasan di hospital berkenaan, namun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu mangsa, Ummu Habibah Wahab, 30, yang juga seorang jururawat, sedang bertugas untuk syif malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN