Bantuan motosikal mudahkan urusan bantu keluarga - Utusan Malaysia

Bantuan motosikal mudahkan urusan bantu keluarga

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim menyerahkan motosikal kepada Nur Aisyah Mohd Nazri pada program di Ipoh semalam. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang remaja perempuan menyatakan rasa syukur apabila menerima sebuah motosikal baharu menerusi Inisiatif Sejahtera Madani yang akan digunakan untuk membantu urusan keluarganya.

Nur Aisyah Mohd Nazri, 18, berkata, motosikal yang dimilikinya sebelum ini mengalami kerosakan akibat kemalangan.

Menurutnya, motosikal baharu yang diterimanya itu untuk kegunaan harian, termasuk membantu ibunya pergi ke pasar dan memudahkan urusan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur menerima bantuan motosikal baharu ini. Sebelum ini motosikal yang ada tidak berapa elok selepas kemalangan.

“Motosikal baharu ini memudahkan pergerakan saya selain membantu keluarga dalam urusan harian,” katanya.

Nur Aisyah antara 22 penerima bantuan motosikal baharu yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim di Dewan Komuniti Sungai Tapah, Manjoi, semalam.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat sokongan bagi memperbaiki taraf hidup mereka.

Menurutnya, bantuan motosikal itu diharap dapat dimanfaatkan oleh penerima bagi menjalankan perniagaan kecil, pekerjaan harian atau urusan lain yang boleh membantu menjana pendapatan.

“Program ini yang pertama dilaksanakan di negeri Perak dengan menyalurkan bantuan dalam bentuk motosikal khusus kepada penerima e-Kasih.

“Kerajaan melalui pendekatan Sejahtera Madani sentiasa komited membantu rakyat yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah supaya mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk meningkatkan taraf kehidupan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN