PUTRAJAYA: Bantuan insentif tunggu tuai RM600 yang didakwa tidak sampai kepada pesawah, adalah bantuan khas secara one-off yang dilaksanakan bagi musim tanaman padi tahun 2023 dan 2024 sahaja.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan, peruntukan ini tidak diteruskan dalam Belanjawan bagi tahun 2025 dan 2026.
Justeru, katanya, tidak timbul isu kelewatan pembayaran sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang.
“Dalam hal ini, adalah penting agar kenyataan yang hendak dibuat mestilah berasaskan fakta dan butiran sebenar dasar kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pesawah dan rakyat.
“KPKM sememangnya sedang memantau impak kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kos operasi, dan perkara ini sedang diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membangkitkan dakwaan berhubung Insentif Tunai RM600 kepada pesawah yang dikatakan pesawah tidak menerima bantuan ini sejak dua musim berturut-turut.
Berhubung kesan kenaikan harga diesel terhadap pesawah serta sektor pertanian negara, KPKM berkata, sebelum berlakunya pergolakan semasa di Asia Barat dan impak penyasaran semula subsidi diesel pada 2024, kerajaan mengambil langkah awal dengan meningkatkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar.
Ini termasuk memperkenalkan bantuan upah menuai sebanyak RM50 sehektar bagi meringankan kos operasi pesawah.
Dalam menghadapi cabaran cuaca kering dan kemarau di utara negara, katanya, tindakan segera dilaksanakan termasuk Operasi Pembenihan Awan pada 13 hingga 14 Februari 2026 serta penggunaan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK) di kawasan sumber air terhad.
“Selain itu, pesawah yang terkesan turut dinilai bagi bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Skim Takaful Tanaman Padi,” katanya.
Menurut KPKM, Mesyuarat Pasca Kabinet KPKM Pada 17 Mac lalu meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) sebagai platform rasmi yang menghimpunkan semua pemain industri termasuk wakil pesawah, persatuan dan NGO bagi membincang serta menyelesaikan isu industri secara kolektif dan telus.
Katanya, satu sesi libat urus bersama pemain industri termasuk wakil pesawah, wakil pengilang baja telah diadakan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas langsung daripada pihak industri berkenaan impak perang di Asia Barat.
“Susulan perkembangan semasa termasuk kenaikan harga minyak dunia, KPKM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian untuk meneliti kesan keseluruhan terhadap sektor pertanian serta sedang merangka tindakan lanjut secara menyeluruh.
“Dalam masa yang sama, KPKM ingin menegaskan bahawa bantuan subsidi input seperti benih, baja dan racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku kenaikan kos baja di peringkat global,” katanya.
Pada masa sama, KPKM pada bila-bila masa boleh melaksanakan intervensi sewajarnya berdasarkan peruntukan di bawah Akta 522 sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian penghasilan dan pembekalan padi serta beras negara. – UTUSAN











