KUALA LUMPUR: Selepas konsert mega di Stadium Nasional Bukit Jalil Februari lalu, ratu rock negara, Ella bakal terbang ke Doha, Qatar untuk mengadakan showcase sulungnya di negara itu pada 26 April ini.
Menurut Ella, meskipun gembira kerana tiket showcase itu hampir habis terjual, dia tetap gementar mengenangkan kebarangkalian penerbangannya dibatalkan gara-gara perang yang meletus di Timur Tengah.
“Saya tidak sabar untuk membuat persembahan di Qatar kerana ini merupakan kali pertama saya mengadakan showcase di negara itu.
“Tentunya penonton dan persekitaran di sana nanti berbeza berbanding konsert yang pernah saya adakan sebelum ini.
“Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Saya cuma harapkan penerbangan saya ke sana nanti tidak dibatalkan. Apa pun saya tidak sabar untuk bertemu peminat di sana,” katanya.
Ella ditemui sempena Majlis Jalinan Kasih bersama Pusat Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah Anjuran Rockqueen dan Ella di Saujana Hotel, Kuala Lumpur semalam.
Ella yang bakal membuat persembahan di Hilton Doha meluahkan rasa syukur dengan sambutan menggalakkan yang diterimanya menjelang showcase berkenaan.
“Jualan tiket dibuat sejak tiga bulan lepas, Alhamdulillah ia hampir habis terjual. Apa pun saya mengalu-alukan peminat yang mahu menonton persembahan saya di Qatar segera membuat pembelian tiket secara dalam talian,” ujarnya.
Penyanyi kesayangan ramai itu pada majlis semalam meraikan lebih 40 anak yatim dan ibu tunggal menerusi pemberian sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan dan cenderahati.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah rakan penggiat seni antaranya Datuk Nash, Datuk Fizz Fairuz, Rahmat Mega, Ali XPDC, Datuk Acis serta jurulatih pasukan Selangor FC, Kim Pan-gon. – UTUSAN










