KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda mengakui pasrah apabila usahanya berkali-kali mencari jalan damai untuk menyatukan semula keluarganya masih belum menemui titik penyelesaian.
Menurut Nabila, tanggungjawab untuk menamatkan kemelut berpanjangan itu sepatutnya digalas oleh bapanya, Datuk Amy Search, sebagai ketua keluarga.
“Untuk soal berbaik atau mencari jalan penyelesaian, rasanya lebih baik tanya pihak sana. Saya sudah banyak kali menjawab soalan ini.
“Setakat ini memang tiada jalan penyelesaian. Mungkin sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, dia yang perlu selesaikan apa yang patut diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Together Gather anjuran Viu Malaysia yang berlangsung di ibu negara, Rabu lalu.
Pada masa sama, Nabila menjelaskan dia tidak menyalahkan bapanya sepenuhnya kerana memahami kemungkinan bapanya juga berdepan kebuntuan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang melibatkan ahli keluarga sendiri.
“Kalau saya berada di tempatnya, kehilangan anak dan tidak dapat berjumpa, saya sendiri mungkin tidak mampu meneruskan hidup seperti biasa.
“Saya tidak akan gembira kerana itu darah daging saya. Tetapi saya tidak tahu apa yang dia rasa. Mungkin dia rasa perkara yang sama, cuma tidak tahu bagaimana untuk bertindak,” katanya.
Sebagai anak, pelakon filem Munafik itu mengakui hantaran mengenai kerinduan yang dimuat naik di media sosial sebelum ini memang ditujukan kepada keluarga. Namun, dia kini cuba menerima kenyataan apabila perasaannya itu tidak berbalas.
“Untuk Ramadan kali ini, saya sudah tidak merindui sesiapa. Saya sudah ‘move forward’. Rindu yang pernah saya luahkan di media sosial sebelum ini memang benar-benar datang daripada hati pada waktu itu.
“Ada perkara yang saya nampak dan ia mencetuskan perasaan tersebut. Tetapi sekarang saya sudah ‘move on’. Saya sudah penat berfikir dan bercakap tentang perkara yang sama berulang kali.
“Namun, tidak salah kalau sekali-sekala saya terasa. Saya manusia biasa, ada perasaan. Kalau saya sedih, saya sedih. Kalau saya marah, saya marah. Kalau saya gembira, saya gembira,” ujarnya.
Tambah Nabila, ketika ini dia lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga kecilnya serta menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu sebaik mungkin.
“Sekarang saya bahagia dengan kehidupan sederhana saya. Tentang doa pula, memang setiap hari saya berdoa, lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan Syawal, cuma doa saya masih belum dimakbulkan.
“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah tersenyum dan meneruskan kehidupan. Kalau kita terus tenggelam dalam kesedihan, kasihan keluarga yang ada di depan mata.
“Doa saya cuma satu, supaya hidup saya benar-benar bahagia dan lengkap. Sekarang saya bahagia, cuma mungkin ada sedikit kekosongan. Kalau kekosongan itu terisi, mungkin kebahagiaan itu akan terasa berbeza.
“Tetapi saya sendiri tidak dapat membayangkannya kerana ia belum sampai ke tahap itu. Mungkin suatu hari nanti ‘puzzle’ itu akan lengkap, atau mungkin juga tidak.
“Kalau kekosongan itu sempat diisi sebelum saya menutup mata, alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin kita akan bertemu di kehidupan lain. Saya hanya mampu berdoa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila bakal muncul menerusi drama Viu Original berjudul Cela bergandingan dengan pelakon muda, Hun Haqeem.










