KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada tahun 2024 dan 2025.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memaklumkan, anak guamnya itu turut melafazkan rujuk bagi kedua-dua lafaz berkenaan pada tahun yang sama.
Menurutnya, Aslam atau Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 10 Mac lalu.
“Dakwaan mengatakan Aslam memfailkan cerai adalah tidak benar. Sebaliknya, beliau hanya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
“Apabila disebut pengesahan, ia bermaksud lafaz cerai dan rujuk telah berlaku di luar mahkamah dan perlu disahkan di hadapan hakim bagi menentukan kesahihannya,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ammar Yaser berkata, mahkamah akan menentukan status perkahwinan pasangan tersebut dalam prosiding yang berlangsung hari ini di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis.
“Susulan terdapat lafaz cerai dan rujuk di luar mahkamah, pengesahan perlu dibuat bagi menentukan sama ada mereka masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya,” jelasnya.
Terdahulu, Aslam dan Marissa dilihat tiba bersama di mahkamah kira-kira pukul 11 pagi dengan mengenakan pakaian sedondon, namun kedua-duanya enggan mengulas ketika disapa pihak media.
Sebelum ini, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pernikahan itu dipercayai berlangsung ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang mengerjakan umrah.
Difahamkan, ketika itu Aslam masih berstatus suami kepada Misya dan perkahwinan berkenaan turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.
Pada Mei 2025, pasangan itu turut hadir di mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan mereka.










