Anjur mini kasino, empat termasuk warga Hong Kong ditahan

Anjur mini kasino, empat termasuk warga Hong Kong ditahan

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang lelaki warga Hong Kong ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian jenis ‘mini kasino’ yang berselindung di sebalik syarikat penganjuran acara sukan dalam serbuan di premis pejabat di Jalan Gelenggang, Bukit Damansara, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dijalankan oleh Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hasil risikan sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, individu ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Hong Kong, dua lelaki dan wanita tempatan berusia antara 27 hingga 49 tahun.

Katanya, risikan mendapati sindiket berkenaan menjalankan kegiatan mengurus, menganjur dan mempromosi perjudian jenis mini kasino.

“Pihak polis mengesan kumpulan berkenaan menggunakan beberapa laman web serta platform media sosial untuk mempromosikan perjudian mini kasino.

“Sindiket tersebut menyasarkan negara di rantau Asia iaitu Taiwan, Korea, Filipina dan Thailand sebagai lokasi penganjuran.

“Siasatan mendapati kumpulan itu aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak 2022 hingga kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi sebenar sindiket terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN