BUTTERWORTH : Lapan individu termasuk dua pasangan kekasih hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Adik Labu Besar’, tahun lepas.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh iaitu Nur Alya Nadhira Che Hassan, 22; Nurul Natasha Mohammad Shukri,23; Muhamad Samerin Shahrom,35; Mohamed Aizat Rosmadi,28; Aizal Abu Bakar,23; Mohammad Zaini Yusoff,27; Muhammad Azizi Abd Ghafar,22 dan Muhamad Fitri Abdul Karim,31.
Sebaliknya, kelapan-lapan tertuduh hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Adik Labu Besar’ di sebuah kediaman di Vista Perdana, Jalan Kampung Gajah, Kampung Gajah dalam daerah Seberang Perai Utara di sini, antara Mac hingga 16 Oktober 2025.

Atas kesalahan itu, pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130(V)(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dipenjara antara tempoh lima hingga 20 tahun.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani dan Maryam Jamielah Ab. Manaf manakala hanya seorang daripada lapan tertuduh iaitu Nurul Natasha diwakili peguam, Manjit Singh Mann.
Ketika prosiding, Suloshani bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan kes itu melibatkan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan beliau mahu kes tersebut dipindahkan ke mahkamah berkenaan sebelum jaminan diberikan.
Hakim kemudian memerintahkan supaya kes terbabit dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas ini dan menetapkan 4 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, ‘Geng Adik Labu Besar’ itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 42 kes pecah rumah di sekitar Pulau Pinang dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan jenayah tersebut ialah menyasarkan rumah di kawasan perumahan mewah berpagar serta mempunyai kawalan keselamatan selain kawasan perumahan biasa.
“Mereka akan memecah masuk rumah sebelum menggeledah dan melarikan barangan berharga seperti barang kemas, barangan elektronik, wang tunai serta barangan lain yang mudah dilupuskan bagi mendapatkan keuntungan material,” katanya.-UTUSAN










