IPOH: Seorang anggota pasukan bomba sukarela (PBS) dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Jalan Lahat Mines, Bandar Baru Lahat Mines dekat Lahat, di sini semalam.
Mangsa, Ka-Jun Cheng Siew berusia 25 tahun merupakan ahli PBS Menglembu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 7.27 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa bersama pasukannya sedang menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot di tasik berkenaan.
“Latihan itu bermula pada pukul 4.00 petang melibatkan 16 anggota PBS iaitu tujuh dari PBS Menglembu, tujuh dari Pekan Baru dan dua dari Pasir Pinji dengan menggunakan tiga bot.
“Pada peringkat awal latihan dimaklumkan mangsa memakai peranti pengapungan peribadi (PFD), namun setelah latihan hampir selesai pada pukul 7.10 malam, mangsa kembali menaiki bot tanpa memakai PFD,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa menaiki bot bersama seorang pemandu sebelum kedua-duanya dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika pemandu membuat pusingan U di tengah tasik.
“Pemandu bot berjaya diselamatkan oleh rakan PBS yang lain manakala mangsa dipercayai telah tenggelam ke dalam tasik.
“Jarak mangsa dipercayai terjatuh dianggarkan kira-kira 150 meter dari tebing,” katanya.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan dengan anggota melakukan pencarian di permukaan sungai sebelum dihentikan sementara pada pukul 1.02 pagi. – UTUSAN










