KOTA BHARU: Anak-anak kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani, 81, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, kelmarin mahu menunaikan hasrat Allahyarham untuk menyiapkan sebuah pusat tahfiz yang ketika ini dalam fasa tergendala.
Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam di rumahnya di Pulau Hilir, Kubang Kerian.
Anak ke-12 arwah, Hafizullah, 29, berkata, dia dan adik beradik lain akan menyiapkan pusat tahfiz itu yang ketika ini siap sebanyak 50 peratus.
Katanya, pusat tahfiz yang diberi nama Gerak Wira itu dibina sejak enam tahun lalu di atas tanah seluas kira-kira satu hektar dan kini tergendala selepas terdapat beberapa kekangan terutama aspek kewangan.
“Pusat tahfiz ini dibina menggunakan dana arwah sendiri. Saya dan adik-beradik yang lain akan membantu menunaikan hasrat arwah dengan menyiapkan projek tersebut. Sebelum meninggal dunia, arwah mengadu sesak nafas semasa berucap pada Program Ukhwah Madani PVATM di Dewan Dato’ Ghani, Kubang Kerian semalam.
“Allahyarham bapa sempat berucap selama beberapa minit pada majlis tersebut petang semalam sebelum mengadu sesak nafas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian di sini, semalam.
Hafizullah berkata, ketika berucap, Allahyarham secara tiba-tiba meminta maaf kepada semua tetamu.
Menurutnya, bapanya juga dikatakan lemah sebaik sahaja keluar dari bilik air semasa tiba di rumah sebelum ibu tirinya berada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir. – UTUSAN










