PETALING JAYA: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) menawarkan perlindungan tambahan sebanyak 25 peratus bagi pembelian polisi insurans kemalangan diri terpilih sempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat itu.
Kempen khas yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026 itu merangkumi pelan Allianz Shield Plus dan Allianz Lifestyle Protect sebagai tanda penghargaan atas sokongan pelanggan sepanjang dua dekad yang lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, inisiatif ini bertujuan memperkasakan keselamatan kewangan pelanggan dengan memberikan perlindungan lebih tinggi bagi menghadapi kejadian luar jangka.
“Menerusi tambahan perlindungan 25 peratus ini, kami ingin memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan dalam melindungi insan tersayang mahupun menguruskan keperluan gaya hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah kempen ini, pelanggan berusia 40 tahun ke bawah yang melanggan polisi baharu Allianz Shield Plus akan menikmati bonus khas 25 peratus daripada Jumlah Pokok Diinsuranskan secara serta-merta.
Manfaat yang sama turut diberikan kepada pemegang polisi sedia ada yang menambah individu baharu dalam lingkungan usia tersebut semasa pembaharuan.
Allianz Shield Plus menawarkan perlindungan seluruh dunia 24/7 sehingga RM3 juta bagi kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal, selain manfaat kemasukan serta pelepasan hospital tanpa tunai.
Sementara itu, bagi pelan Allianz Lifestyle Protect, pelanggan baharu layak menerima perlindungan tambahan 25 peratus untuk manfaat gaya hidup dan kehidupan terpilih.
Pelan ini direka khusus untuk melindungi aset digital dan transaksi harian termasuk perlindungan peranti pintar sehingga RM5,000 serta pampasan kad kredit dan pembelian dalam talian.
Kempen ulang tahun ke-25 ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mencari penyelesaian perlindungan komprehensif yang disesuaikan mengikut gaya hidup moden masa kini. –UTUSAN











