CYBERJAYA: Kerajaan mengesahkan seramai lapan ahli Parlimen tidak hadir pada sesi undian Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, petang semalam.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka yang terlibat ialah tiga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setiap ahli Parlimen itu mengemukakan pelbagai alasan ketidakhadiran termasuk berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir tidak hadir kerana dimasukkan ke hospital manakala Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan menghadiri upacara keagamaan.
“Jadi, kita telah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip kita mengenai ahli Parlimen tidak hadir.
“Dari blok Pakatan Harapan (PH), 100 peratus ahli Parlimen hadir. Semua hadir dan semua mengundi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Berhubung reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terhadap ketidakhadiran ahli Parlimen berkenaan, Fahmi berkata, riak wajah Fadillah menunjukkan kekecewaan.
“Saya lihat raut wajah beliau, Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan sedikit kecewa bahawa lapan Ahli Parlimen tidak ada (dalam Dewan Rakyat),” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen apabila hanya 146 menyokong, 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.
Lapan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Henry Sum Agong (Lawas); Riduan Rubin (Tenom); Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong); Libaran; Tapah; Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau). – UTUSAN










