IPOH: Persatuan India Muslim Perak (PRIM) meneruskan tradisi setiap tahun dengan mengagihkan kira-kira 7,000 bungkus nasi beriani sebagai juadah berbuka puasa kepada penduduk bandar raya ini hari ini.
Hidangan tersebut diagihkan secara percuma dan habis diedarkan dalam masa kira-kira satu jam dalam program ‘Briyani Day’.
Tinjauan mendapati, seawal pukul 2 petang, orang ramai telah mula beratur dan menunggu meskipun edaran bungkusan dijadualkan bermula pukul 3 petang.
Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pemberian nasi beriani itu merupakan tradisi PRIM sejak 2014 dan kali kesembilan diadakan dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri.
Katanya, hidangan nasi beriani yang dihasilkan secara gotong-royong itu diagihkan kepada komuniti setempat sebagai tanda perkongsian rezeki dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.
“Kami telah menjalankan program ini selama sembilan tahun. Pada awalnya, pengagihan hanya 1,000 bungkus, kemudian meningkat kepada 2,000 dan 3,000 bungkus.
“Alhamdulillah, hari ini pengagihan mencapai 7,000 bungkus. Walaupun sasaran asal 10,000 bungkus namun jumlah ini sudah memadai dan dengan izin Allah, kita dapat berkongsi rezeki tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Majlis pengagihan yang diadakan di pekarangan Masjid Negeri itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini. – UTUSAN










