3,000 penerima terima baucar pakaian Hari Raya menerusi Program Sinar Syawal Madani

3,000 penerima terima baucar pakaian Hari Raya menerusi Program Sinar Syawal Madani

AHMAD FARHAN FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 3,000 penerima daripada golongan asnaf dan kurang berkemampuan diraikan menerusi Program Sinar Syawal Madani Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026 yang diadakan di Jakel Kuantan di sini.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, program tersebut dilaksanakan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Menurut beliau, setiap penerima menerima sumbangan baucar kupon pakaian Hari Raya bernilai RM200 yang disalurkan bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang bersama-sama meraikan 3,000 penerima dalam program ini.

“Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban persiapan raya agar sinar Aidilfitri dapat dirasai oleh segenap lapisan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara penerima yang diraikan termasuk pelajar sekolah tingkatan lima dan enam daripada keluarga asnaf, pelajar sekolah rendah kategori asnaf, anak-anak yatim, pelajar maahad tahfiz, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan di sekitar Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Azaha Awang; Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Shaiful-Azizi Sukri Mohd. Kassim; Pengarah Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz serta Mudir Pusat Pendidikan Ribath Al Musthofa Kuantan, Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.

Ahmad Farhan berkata, program berkenaan diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga diharap mampu membawa kegembiraan kepada para penerima dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN