PUTRAJAYA: Seramai 125,000 penjawat awam Gred 1 berpeluang dinaikkan ke Gred 5 selepas kerajaan bersetuju menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi jawatan itu berkuat kuasa tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam yang berpeluang menerima manfaat itu termasuk Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi dan Pembantu Tadbir (Kewangan).
Beliau berkata, pelaksanaan kenaikan gred di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu telah dipersetujui menerusi mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Walaupun ada kenaikan gaji mengikut SSPA namun, ada keperluan untuk jaga kategori yang terlalu rendah ini ditingkatkan sedikit.
“Jadi, kami bersetuju untuk menambah peluang laluan kerja bagi Gred 1 naik ke Gred 5 membabitkan 125,000 penjawat awam,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini hari ini.
Katanya, bagi melayakkan kenaikan itu, penjawat awam berkenaan perlu menjalani kursus berkaitan selama dua minggu.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melaksanakan kursus berkenaan dalam tempoh enam bulan dan kenaikan pangkat itu berkuatkuasa 1 Januari 2027.
“Saya telah arahkan JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5, tertakluk kepada syarat merangkumi tempoh perkhidmatan, kelayakan dan kursus khas yang bersesuaian,” katanya.
Gaji permulaan bagi Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N1/N19 (SPM) dalam perkhidmatan awam Malaysia bermula sekitar RM1,500 hingga RM1,700.
Gaji pokok minimum ialah RM1,500, dengan tangga gaji maksimum mencapai RM4,680 atau RM5,071, bergantung kepada agensi dan struktur gaji yang diguna pakai. – UTUSAN










