GEORGE TOWN: Sebanyak 11 buah rumah atau kediaman jenis separa kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Din Manbo, Batu Feringghi di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Teluk Bahang, BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru yang secara keseluruhannya melibatkan kekuatan 23 anggota bersama beberapa buah jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.21 tengah hari dan kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api,” katanya.
John berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu manakala punca kejadian serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.
“Bomba berdepan sedikit kekangan dalam operasi ini memandangkan laluan masuk ke kawasan tersebut sempit selain tekanan air rendah,” katanya.
Sementara itu, penduduk berhampiran, Mohd. Farhan Ali berkata, rumah milik ibu mentuanya turut terjejas, namun dia bersyukur wanita itu tiada di kediamannya ketika kejadian.
Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira pukul 11.45 pagi daripada jiran yang memaklumkan mengenai kebakaran.
Katanya, kejadian itu amat memberi kesan emosi kepada ibu mentuanya kerana ia bukan sekadar tempat berteduh, malah menyimpan pelbagai kenangan sepanjan menetap di situ. – UTUSAN











